Kesibukan di tempat kerja bukanlah alasan untuk anda makan menurut kata hati. Memang tidak dinafikan ketika terlalu menumpukan perhatian dan tenaga kepada pekerjaan anda akan cepat merasa lapar.
Punca Berat Badan Bertambah di Tempat Kerja - Sumber gambar foodhabits.co.nz |
Sebelum ini dibincangkan mengenai makanan ketika sedang tertekan. Ketika lapar, gula di dalam darah menurun dan seterusnya menyebabkan seseorang tidak dapat berfikir baik dan mula mencari makanan segera seperti snek. Beberapa penyebab berat bertambah di tempat kerja adalah seperti berikut:
Terdapat segelintir individu menjadikan makanan terutamanya snek sebagai terapi ketika sedang tertekan. Elakkan makan snek ringan seperti keropok atau kerepek ketika tertekan. Sebaliknya tarik nafas dalam-dalam dan hembus perlahan-lahan sebanyak lima hingga sepuluh kali.
Makan di luar punca berat badan bertambah
Ketika makan di luar, anda tidak dapat menganggarkan jumlah kalori makanan yang disediakan. Seeloknya masak sendiri makanan di rumah dan bawa bekal ke tempat kerja, pasti lebih menyihatkan serta menjimatkan.
Makan tidak ikut jadual punca berat badan bertambah
Jika terlalu sibuk bekerja, mungkin ada yang terlupa untuk makan atau makan lewat. Sebenarnya apabila terlalu lapar pasti selera makan akan bertambah. Sebaiknya makan ikut jadual tepat pada waktu walaupun sekadar mengalas perut dengan roti, yogurt atau biskut oat. Elakkan makan makanan segera seperti mi segera.
Majlis keraian punca berat badan bertambah
Majlis keraian seperti sambutan hari lahir rakan sekerja atau kenaikan pangkat sering diadakan di tempat kerja. Pelbagai makanan disediakan seperti pizza atau kek. Jika setiap bulan lebih dari lima kali sambutan, pasti banyak kalori yang masuk ke dalam badan anda. Sentiasa kawal selera makan anda.
Pelawaan rakan sekerja punca berat badan bertambah
Adakalanya rakan sekerja akan mempelawa anda makan bersama makanan yang dibawa oleh mereka seperti kek atau coklat yang lazat. Tidak salah merasa sedikit bagi menjaga hati rakan anda, namun jangan makan berlebihan.
Oleh itu, sentiasa kawal selera makan dan makanlah mengikut keperluan badan. Pastikan anda minum banyak air putih dan bersenam secara teratur. Anda boleh juga membaca petua langsing selepas bersalin di dalam artikel yang lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan