Mandi bunga telah diamalkan oleh generasi terdahulu sejak zaman berzaman. Bunga telah diciptakan oleh Allah SWT memiliki kelebihan yang tersendiri dan mampu membangkitkan aura dalam diri seseorang. Bunga-bungaan diciptakan dengan warna-warni yang cantik dipandang dan bau harumnya dapat menenangkan minda.
Teknik Mandi Bunga - Gambar kredit facebook.com |
Selain itu, mandi bunga juga dapat menaikkan seri wajah seseorang. Ini kerana badan akan menjadi segar selepas menyerap khasiat yang terdapat dalam bunga-bungaan yang digunakan. Bunga adalah penyerap tenaga terbaik dan ia juga mampu mengurangkan kelesuan serta dapat menghilangkan bau badan.
- Bunga Mawar
- Bunga Melati
- Bunga Kesidang
- Bunga Orkid Wangi
- Bunga Tanjung
- Bunga Jejarum
- Bunga Cempaka
- Bunga Melur
- Bunga Lily
- Bunga Kenanga
- Bunga Harum Sedap Malam
- Bunga Akar Dani
- Bunga Jasmin Hutan
- Bunga Kekwa
- Bunga Susun Kelapa
Bahan-bahan Mandi Bunga:
- 7 atau 9 jenis bunga segar (pilih daripada senarai di atas dengan warna yang berbeza serta wajib ada bunga jasmin dan cempaka) - elakkan bunga berduri dan warna hitam
- 1 botol air mawar
- 3 biji buah limau purut/ limau nipis - dibelah dan dipotong nipis
- Daun pandan - diracik halus
- Daun limau purut - diracik halus
Kaedah Penyediaan Mandi Bunga (buat dan simpan di luar bilik mandi):
- Asingkan kuntuman bunga dari daun dan dahan kecil. Namun, jangan dileraikan kelopak bunga supaya aroma bunga tidak hilang.
- Masukkan bunga-bungaan ini di dalam baldi besar yang telah diisi air penuh.
- Tuangkan 1 botol air mawar ke dalam baldi dan kacau rata.
- Masukkan buah limau purut/ limau nipis, daun pandan dan daun limau purut ke dalam baldi.
- Rendamkan buah limau purut/ limau nipis bersama bunga-bungaan, daun pandan dan daun limau purut dalam air baldi semalaman.
Cara Mandi Bunga:
- Seeloknya bangun pada waktu awal pagi sebelum masuk waktu subuh untuk mandi. Pada waktu ini badan dalam keadaan segar dan serapan tenaga adalah tinggi.
- Pakai kain basahan ketika mandi. Mandi dengan air biasa, sabun dan bilas seperti biasa.
- Di luar bilik mandi, kacau air rendaman dalam baldi mengikut lawan arah jam dengan menggunakan jari sambil membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW sebanyak 3 kali dan surah al-Fatihah sebanyak 1 kali.
- Bawa masuk baldi air rendaman ke dalam bilik mandi. Mandi air rendaman ini untuk bilasan terakhir seperti cara berikut:
- Mulakan mandian dengan cara menyiram air ke bahagian badan sebelah kanan dan kemudian kiri.
- Kemudian siram air di bahagian kepala.
- Biarkan seketika air meresap pada badan.
- Jangan bilas dengan air selepas mandi bunga.
- Apabila air hampir mengering, lap badan dengan tuala seperti biasa.
Selamat mencuba perkongsian teknik mandi bunga ini. Selain dapat menyegarkan badan yang lesu, anda juga dapat memanjakan diri sendiri. Semoga anda semakin berseri-seri dan ceria selalu. Selamat mencuba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan