Contoh Soalan dan Jawapan Temuduga

Salah satu persediaan untuk menghadapi temuduga adalah dengan menyediakan deraf soalan dan jawapan yang mungkin ditanya oleh penemuduga. Peruntukkan masa untuk berlatih soalan dan jawapan temuduga ini sebelum menghadiri temuduga. 

Contoh Soalan dan Jawapan Temuduga
Contoh Soalan dan Jawapan Temuduga - Sumber gambar udos-ubebe.com
Sebelum ini pernah dibincangkan mengenai tips semasa temuduga di dalam artikel yang lalu. Contoh soalan dan jawapan temuduga ini adalah berdasarkan kepada pengalaman temuduga yang pernah saya hadiri. 

Soalan Mengenai Diri Anda

Sila perkenalkan diri anda. 

Ceritakan mengenai diri anda iaitu nama, kelulusan (SPM, Diploma, Ijazah) dan pengalaman kerja dahulu (termasuk skop kerja). Nyatakan tujuan anda menghadiri temuduga pada hari berkenaan adalah bagi menambah pengalaman dan untuk menyumbang tenaga kepada pihak syarikat. Ucapkan terima kasih kerana telah memberikan peluang untuk ditemuduga.


Mengapa kami perlu memilih anda bekerja di syarikat kami?

Nyatakan kekuatan dan kelebihan yang anda miliki berkaitan dengan bidang kerja yang dipohon. Contoh: berdisiplin, bertanggungjawab, berhemah tinggi, sukakan cabaran dan sedia belajar sesuatu yang baru, mampu bekerja di dalam pasukan, bermotivasi tinggi dan mampu bekerja di bawah tekanan, bijak menguruskan masa. Kaitkan pengalaman kerja yang lepas dengan jawatan dipohon (jika berkaitan).


Apa yang anda akan sumbangkan sekiranya anda dipilih untuk jawatan ini? 

Nyatakan sekiranya dipilih untuk jawatan berkenaan, pasti anda berusaha menjadi seorang kakitangan yang jujur dan produktif di dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan. Nyatakan juga, “Saya adalah antara ribuan graduan di luar sana yang mengharapkan dapat berkhidmat di syarikat tuan. Saya sedar saya bukanlah yang terbaik, namun jika tuan memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat, tentu saya akan menggunakan peluang ini untuk memperbaiki diri saya dan belajar untuk menjadi yang terbaik. Saya percaya tiada seorang pun manusia di dunia ini menjadi yang terbaik tanpa berusaha dan terus belajar”. 


Sila ceritakan penglibatan anda di dalam sukan dan persatuan?

Ceritakan mengenai sukan dan persatuan yang pernah anda sertai. Jika anda pernah memenangi pertandingan di dalam sukan yang disertai, terangkan secara ringkas mengenai pancapaian anda. 


Apakah matlamat dan perancangan anda untuk jangkamasa pendek dan panjang?

Nyatakan matlamat anda bagi kerja yang dipohon. Contoh jawapan: "Matlamat jangka pendek adalah saya berharap agar mendapat pekerjaan tetap bagi menjamin kehidupan saya dan keluarga di masa hadapan. Saya amat berharap terpilih untuk menjawat jawatan ini. Matlamat jangka panjang adalah saya ingin memberikan perkhidmatan yang terbaik. Saya akan terus memperbaiki kualiti kerja saya dengan cara menambahkan ilmu iaitu melalui menghadiri seminar, bengkel dan kursus. Saya juga berazam untuk mengembangkan potensi diri dan kerjaya saya sehingga ke peringkat tertinggi". 


Apakah kelemahan diri anda?

Jawapan bagi soalan ini harus diolah menjadi positif. Contoh jawapan: "Kelemahan diri saya adalah saya terlalu menumpukan kepada kerja yang dipertanggungjawabkan kepada saya. Saya akan memastikan kerja disiapkan sebelum pulang ke rumah sehingga saya sanggup pulang lewat ke rumah". 


Ceritakan cara kerja anda?

Terangkan mengenai cara kerja anda secara teratur. Contoh jawapan: "Saya membuat kerja dengan terancang supaya saya boleh memberi tumpuan kepada kerja yang seterusnya. Saya sentiasa menyemak kerja saya supaya kerja saya lakukan itu betul-betul berkualiti. Saya juga sentiasa berbincang dengan rakan sekerja yang lain dalam melaksanakan tugasan yang diberi supaya lebih cekap dan efisyen".


Bagaimana cara anda menangani tekanan kerja?

Jawapan untuk soalan ini mesti positif. Contoh jawapan: "Saya sentiasa fokus dan berusaha untuk menyiapkan kerja saya walaupun saya sedang tertekan. Tekanan boleh menjadi motivasi kepada saya kerana dengan adanya tekanan saya akan berusaha melakukan tugasan dengan lebih baik. Di samping itu juga, saya berdoa agar diberikan kekuatan oleh Allah di dalam menghadapi tekanan kerja". 


Apakah perkara yang dapat memberikan anda motivasi dalam bekerja?

Jawab secara positif. Contoh jawapan: "Saya melatih diri saya untuk menyiapkan kerja tepat pada masanya untuk mendapatkan prestasi kerja yang terbaik. Ianya akan memberikan kepuasan kepada diri saya". 


Sekiranya anda ditugaskan bekerja di kawasan pedalaman, apa reaksi anda?

Nyatakan bahawa anda sanggup untuk bertugas di mana sahaja termasuklah di kawasan pedalaman.


Apakah kebolehan lain anda?

Sediakan jawapan selain daripada yang ditulis dalam resume anda. Contohnya anda mahir membaiki komputer. 


Soalan Mengenai Jawatan Dipohon

Apakah misi, visi dan objektif syarikat?

Jawapan berkenaan misi, visi dan objektif boleh didapati dari laman web syarikat. 


Berapakah gaji yang ditawarkan?

Dapatkan maklumat mengenai gaji melalui laman laman web syarikat atau pekerja yang sedang berkhidmat di syarikat berkenaan. 


Nyatakan apa yang anda faham mengenai fungsi dan peranan syarikat ini?

Dapatkan maklumat mengenai fungsi dan peranan syarikat (dalam laman web syarikat).


Apakah tugas-tugas yang akan dibuat?

Nyatakan deskripsi tugas anda (dapatkan maklumat ini dalam laman web syarikat). 


Kenapa anda memohon jawatan ini?

Nyatakan bahawa anda berminat untuk membina kerjaya di syarikat berkenaan. Nyatakan juga anda ingin menyumbangkan pengetahuan dan kemahiran sediaada serta memberi peluang kepada perkembangan profesional dan potensi diri anda. Kaitkan pengalaman kerja yang lepas dengan jawatan dipohon (jika berkaitan).


Soalan Meminta Pendapat

Apa pandangan anda jika dikatakan seorang pekerja berkualiti adalah mereka yang beriman berpandukan ajaran agama?

Contoh jawapan : "Pada pandangan saya, jika kita berpegang teguh kepada ajaran agama serta melaksanakannya, pasti wujud sifat jujur, ikhlas dan amanah di dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan. Sekaligus akan menghasilkan pekerja yang berkualiti". 


Apakah cadangan penambahbaikan untuk syarikat ini?

Contoh jawapan: "Setiap kakitangan seharusnya menambahbaik sistem penyampaian kepada pelanggan supaya lebih cekap dan telus mengikut SOP yang ditetapkan. Syarikat juga perlu menyediakan kemudahan untuk promosi dan pesanan produk secara online bagi memudahkan pelanggan berurusan dengan syarikat. Selain itu, setiap kakitangan perlu diterapkan budaya kerja berprestasi tinggi yang melibatkan perubahan budaya kerja, cara berfikir dan cara bertindak bagi memastikan syarikat berkembang maju". 


Jika anda diberikan tugasan tetapi tiada bahan rujukan, apakah tindakan anda untuk menyiapkan tugasan itu?

Contoh jawapan: "Jika saya diberikan tugasan tetapi tiada bahan rujukan, saya akan berbincang dengan rakan sekerja yang mempunyai pengalaman berkenaan tugasan itu. Saya percaya bahawa setiap tugasan yang diberi pasti ada penyelesaiannya. Melalui cara berbincang pasti mendapat idea untuk menyiapkan tugasan berkenaan".


Jika anda diberikan dua tugasan dalam satu masa dan kedua-duanya perlu disiapkan dalam tempoh masa yang singkat, jelaskan cara atau tindakan yang diambil oleh anda?

Contoh jawapan: "Saya akan menyelesaikan tugasan yang diberikan mengikut keutamaan. Keutamaan saya adalah terhadap tugasan yang lebih penting dan paling hampir tarikh akhirnya". 


Apakah kepentingan integriti terhadap sesuatu pekerjaan? 

Contoh jawapan: "Integriti memastikan setiap tindakan dan perbuatan kita berpandukan kebenaran dan kejujuran selaras dengan ajaran agama dan undang-undang. Integriti juga dapat menghindarkan diri kita dari pecah amanah atau rasuah". 


Diharapkan perkongsian mengenai contoh soalan dan jawapan temuduga ini bermanfaat kepada anda. Selain itu, pastikan anda membuat persediaan mengenai soalan berkaitan pengetahuan umum dan isu semasa. Anda juga boleh mengikuti forum dan berbincang dengan individu yang memiliki pengalaman ditemuduga bagi jawatan yang dipohon.

4 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...