Membuat Gigi Palsu

Gigi yang cantik adalah penyeri wajah dan senyuman seseorang. Perkongsian  pada kali ini berdasarkan kepada pengalaman ibu saya yang pernah membuat gigi palsu di klinik pergigian kerajaan dan swasta.

Membuat Gigi Palsu
Membuat Gigi Palsu - Sumber gambar newsfeed.time.com
Kos membuat gigi palsu penuh (atas dan bawah) di klinik kerajaan (klinik pergigian Putrajaya) adalah RM100.00. Manakala kos membuat gigi palsu di klinik swasta (klinik Kuala Kangsar, Perak) sebanyak RM500.00.

Menurut doktor klinik swasta, harga membuat gigi palsu bergantung kepada jenis dan kualiti bahan. Terdapat gigi palsu yang dibuat di klinik swasta dengan harga di antara RM400.00 hingga RM450.00 (perbezaan harga juga tertakluk kepada klinik dan tempat berbeza). 

Tempoh masa membuat gigi palsu di klinik pergigian kerajaan adalah di antara dua hingga tiga bulan (memerlukan tiga hingga enam kali lawatan). Manakala di klinik pergigian swasta hanya mengambil masa satu bulan untuk disiapkan.

Secara ringkasnya, proses untuk membuat gigi palsu adalah seperti berikut:
  1. Kunjungan pertama - pemeriksaan gigi dan acuan pertama diambil (acuan ini akan digunakan untuk membuat model gigi bagi merancang dan merekabentuk gigi palsu).
  2. Doktor gigi akan membuat persediaan pada gigi mengikut rekabentuk gigi palsu dalam acuan pertama. Kemudian acuan kedua diambil untuk dijadikan model yang lebih tepat.
  3. Peringkat merekod gigitan - Gigitan di antara rahang atas dan bawah akan direkodkan serta ruang yang ada di antara kedua rahang akan diukur.
  4. Peringkat percubaan - Set gigi palsu yang diperbuat daripada lilin dibuat dan doktor akan meminta anda mencuba pakai. Gigi palsu sebenar akan dibuat berdasarkan gigi palsu lilin ini. 
  5. Peringkat penyudahan - Gigi palsu yang telah siap dibuat akan dimasukkan ke dalam mulut anda dan pelarasan dibuat sehingga anda berasa selesa memakainya. 
  6. Peringkat rawatan susulan – Rawatan susulan dibuat bagi memastikan tisu mulut tidak terluka akibat pemakaian gigi palsu dan untuk memastikan gigi palsu berfungsi dengan baik.
Jika terdapat masalah atau tidak selesa memakai gigi palsu, pesakit boleh datang kembali ke klinik pergigian untuk memperbaikinya. Semoga perkongsian proses membuat gigi palsu ini bermanfaat untuk anda. Di dalam artikel yang akan datang akan dikongsikan tips penjagaan gigi palsu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...