Teknik Menabung Duit di Rumah

Menabung duit di rumah memerlukan disiplin serta motivasi yang tinggi bagi memastikan anda sentiasa bersemangat. Teknik menabung secara kreatif adalah pelu bagi memastikan anda sentiasa konsisten. Amalan ini juga perlu dipupuk sejak anak-anak masih kecil dan di bangku sekolah.  

Teknik Menabung Duit di Rumah
Teknik Menabung Duit di Rumah - Gambarkredit: bnm.gov.my

Pada kali ini dikongsikan beberapa teknik menabung duit secara mudah dan santai. Seluruh ahli keluarga iaitu ayah, ibu dan anak-anak boleh melakukannya bersama-sama. Tekniknya adalah seperti berikut: 


1. Sediakan tabung

Anda boleh menggunakan bekas terpakai seperti botol mineral besar atau balang biskut raya untuk dijadikan tabung. Hias bekas berkenaan agar kelihatan menarik. Selain menarik dan kreatif, penggunaan botol dan bekas terpakai ini lebih mesra alam. Anda juga boleh membeli tabung di kedai Eco Shop, Ninso atau Mr. Diy. 


2. Tetapkan nilai

Tetapkan nilai duit yang anda fokus untuk simpan. Contohnya duit kertas RM5. Anda boleh berbelanja seperti biasa. Namun, setiap kali berbelanja asingkan duit RM5 untuk disimpan. Jangan sesekali gunakan duit RM5 berkenaan. Jika terpaksa pecahkan duit RM50, dapat duit kecil RM5 simpan. 


3. Masukkan duit dalam tabung

Sebaik sahaja pulang ke rumah, terus keluarkan semua duit RM10 dari beg atau poket dan masukkan kesemuanya ke dalam tabung yang disediakan. Jika terdapat lebihan wang saku anak- anak bernilai RM5, galakkan mereka untuk menambah duit dalam tabung.


4. Tempoh simpanan

Anda boleh bermula pada bila-bila masa. Ulangi langkah 1-3 pada setiap hari. Kebiasaannya tempoh masa yang sesuai untuk membuka tabung simpanan adalah pada setiap hujung tahun. 


5. Kira duit 

Cukup sahaja setahun, ajaklah ahli keluarga berkumpul untuk sama-sama mengira duit tabung. Pasti anda sekeluarga akan rasa teruja pada waktu ini. Apabila melihat jumlahnya lagi membuatkan anda rasa gembira dan tidak menyesal. 


Kenapa duit RM5 sesuai untuk teknik menyimpan ini?

1. Mudah dikesan

Warna hijau duit kertas RM5 mudah dikesan dengan mata kasar. 


2. Nilai yang mampu untuk seisi keluarga

Nilai RM5 tidaklah terlalu membebankan anda sekeluarga, terutamanya kepada anak-anak kecil yang baru belajar menabung.  

3. Motivasi diri sendiri

Permulaannya mungkin rasa terpaksa, tapi lama-kelamaan akan rasa seronok. Apabila melihat bekas simpanan duit semakin penuh, pasti anak-anak akan lebih bersemangat untuk menambah duit RM5 ke dalam tabung berkenaan. 


Percayalah bahawa duit RM1,000 tidak akan menjadi RM1,000 jika tidak cukup RM5. Walaupun nilai itu mungkin dilihat kecil oleh sesetengah orang, tapi ianya sangat besar bagi orang yang menghargainya. Bak kata pepatah Melayu, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Duit ini mungkin boleh digunakan untuk tambahan persediaan membeli keperluan persekolahan anak-anak di awal tahun. Atau sebaiknya bolehlah menyimpan duit berkenaan dalam akaun bank anda dan anak-anak. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...