8 Soalan Temuduga Paling Popular

Salah satu persediaan penting sebelum menghadiri temu adalah mempersiapkan diri dengan soalan-soalan popular yang mungkin ditanya oleh penemuduga. Kebanyakan soalan yang ditanya sebenarnya sudah boleh dijangka. Namun akibat kurang persediaan ditambah pula dengan perasaan gementar pasti pencari kerja tidak dapat menjawab soalan yang ditanya.

Temuduga
Sesi temuduga (Gambar kredit: insidehighered.com)

Pada kali ini, dikongsikan lapan (8) soalan temuduga paling popular dan contoh jawapan. 

1. Apakah kelemahan-kelemahan anda?

Soalan ini adalah salah satu soalan popular yang sering ditanya ketika temuduga. Berikan jawapan yang tidak menunjukkan kelemahan, tetapi menunjukkan kekuatan anda. Elakkan daripada menonjolkan sifat peribadi anda dan tumpukan kepada ciri-ciri profesional dalam diri anda. Contohnya, "Saya sentiasa berusaha untuk meningkatkan kemahiran komunikasi saya untuk menjadi seorang penyampai yang baik. Baru-baru ini saya telah menyertai kursus Perhubungan Awam dan Komunikasi Berkesan anjuran INTAN, kursus ini amat membantu saya."


2. Mengapa kami perlu mengambil anda bekerja?

Jawapan untuk soalan ini boleh anda kaitkan dengan pengalaman kerja atau latihan industri (praktikal) anda yang lalu. Contoh jawapan, "Berdasarkan pengalaman kerja saya selama lima tahun di syarikat XYZ dan prestasi kerja saya telah membuktikan bahawa saya telah banyak membuat penjimatan wang syarikat. Jadi kini saya ingin membuat perubahan kepada syarikat tuan dan saya yakin boleh menjadi sebahagian daripada kakitangan terbaik di syarikat tuan."


3. Kenapa anda mahu bekerja di syarikat ini?

Jika soalan ini ditanya, penemuduga sebenarnya mahu melihat sama ada anda serius memohon pekerjaan berkenaan di syarikat mereka dan membuktikan anda tidak menghantar permohonan kerja hanya sekadar suka-suka. Contoh jawapan, "Saya telah memilih syarikat-syarikat utama yang misinya selaras dengan minat dan kemampuan diri saya. Syarikat tuan adalah senarai teratas pilihan saya berbanding syarikat-syarikat yang lain."


4. Apakah matlamat anda?

Apabila anda ditanya soalan ini, sebaik-baiknya nyatakan matlamat jangka pendek anda berbanding anda bercakap mengenai masa hadapan yang masih jauh. Contoh jawapan, "Matlamat saya kini adalah untuk mendapatkan pekerjaan di sebuah syarikat yang sedang berkembang. Matlamat jangka panjang saya adalah bergantung kepada perkembangan syarikat. oleh itu, saya berharap dapat mengembangkan kerjaya saya di syarikat tuan."


5. Mengapa anda berhenti kerja di tempat kerja lama?

Sekiranya pada waktu berkenaan anda berhenti kerja, cuba berikan jawapam yang positif. Elak memburukkan majikan atau syarikat lama anda. Contoh jawapan, "Saya seronok dan selesa bekerja dengan syarikat XYZ. Namun, saya berhasrat untuk mengembangkan kerjaya saya ke tahap yang lebih baik dan menimba pengalaman baharu di syarikat tuan."


5. Apakah yang membuatkan anda paling berpuas hati dalam pekerjaan anda?

Jawapan untuk soalan ini boleh dikaitkan dengan pencapaian anda sebelum ini di dalam melaksanakan kerja. Contoh jawapan, "Kerja saya adalah menerima aduan dari pelanggan mengenai masalah yang dihadapi. Kepuasan pelanggan pasti membuatkan saya rasa berpuas hati."


6. Apakah kelebihan diri anda berbanding calon-calon yang lain? 

Bagi menjawab soalan ini, anda boleh menggabungkan pengalaman, pengetahuan dan kemahiran yang anda miliki. Contoh jawapan, "Saya memiliki kemahiran teknikal yang tinggi dan mampu membina hubungan baik dengan pelanggan. Ini membolehkan saya menyampaikan maklumat kepada pelanggan dengan lebih baik dan berkesan."


7. Apakah tiga perkara positif yang majikan katakan tentang diri anda?

Anda boleh mengaitkan jawapan untuk soalan ini dengan penilaian majikan anda terdahulu terhadap diri anda. Contoh jawapan, "Majikan saya pernah mengatakan bahawa saya adalah penulis terbaik majalah XYZ. Saya seorang kakitangan yang berdikari dan saya mampu menyiapkan tugasan di bawah pengawasan yang minimum."


8. Berapakah gaji yang anda harapkan untuk jawatan ini?

Anda perlu mengkaji terlebih dahulu julat gaji yang sesuai untuk jawatan berkenaan mengikut kawasan di negeri berkenaan. Contoh jawapan, "Saya pasti pihak tuan telah menetapkan gaji yang sesuai untuk jawatan ini. Berapakah julat gaji yang sesuai berdasarkan kepada pengalaman kerja saya yang lalu?" 


Oleh itu, persediaan awal dengan cara mengkaji soalan temuduga popular yang mungkin ditanya dan menyediakan contoh jawapan yang baik adalah penting. Ramai pencari kerja  yang menghadiri temuduga tanpa persediaan dan hanya memperjudikan nasib semata-mata. Tanpa persediaan, kemungkinan untuk gagal temuduga adalah tinggi. Akhir kata, semoga anda berjaya mendapat pekerjaan idaman anda. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...