Petua Menghilangkan Bau Blender atau Pengisar

Penggunaan blender atau pengisar akan memudahkan kerja di dapur. Namun, tidak semua orang memiliki beberapa blender untuk mengisar bahan masakan yang berbeza seperti cili dan bawang, buah-buahan atau adunan kek. Kebiasaannya blender yang telah digunakan untuk mengisar cili dan bawang akan meninggalkan bau kuat. Ada petua yang boleh dicuba bagi menghilangkan bau blender ini.

Petua Menghilangkan Bau Blender atau Pengisar

Petua menghilangkan bau blender ini hanya menggunakan bahan yang mudah didapati di dapur anda. Bahan-bahan dan cara adalah seperti berikut:

Bahan-bahan:
2 sudu besar soda bikarbonat
2 sudu besar garam kasar
Sedikit sabun cecair pencuci pinggan
2 cawan air

Cara:
  1. Kisar kesemua bahan di atas selama 15-20 saat. 
  2. Cuci blender dengan air sehingga bersih. 
  3. Keringkan blender dan simpan. Pasti bau blender akan hilang. 

*Tip ekstra:
  • Jangan buang air yang dikisar. Gunakan untuk mencuci pinggan mangkuk.
  • Garam kasar juga dapat menajamkan mata pisau blender.
Selamat mencuba..

Tip Membeli Durian

Buah durian kini menjadi buah kayangan apabila harganya juga sudah menjadi harga kayangan di sesetengah tempat. Keenakan raja buah ini membuatkan orang sanggup membayar mahal. Pemilihan buah yang berkualiti adalah penting bagi memastikan anda membeli buah yang sedap rasanya dan tidak busuk. Tip pemilihan buah durian ini ada dikongsikan oleh orang-orang lama. 

Tip Membeli Durian -

Beberapa tip membeli durian yang boleh dicuba adalah seperti berikut:

1. Tip Membeli Durian - Lihat Tangkai Durian

Pilih buah durian yang tangkainya masih bergetah. Jika durian baru luruh dan dikutip, tangkainya akan rasa berlendir. Jika telah lama luruh, tangkai akan mengecut dan mengecil. Ini menunjukkan buah durian sudah tidak segar dan kurang berkualiti.  


2. Tip Membeli Durian - Lihat Bontot Durian

Pilih buah durian yang tidak pecah bontot. Ini kerana buah yang barun gugur kebiasaannya bontot tidak pecah. Kecuali buah berkenaan telah lama gugur/ disimpan kerana bontot buah durian akan mula merekah berbentuk garis di setiap alur pangsa pada hari ke-3. Jika rekahan semakin besar, buah durian semakin kurang berkualiti untuk dimakan dan ia sesuai untuk dibuat tempoyak sahaja. 


3. Tip Membeli Durian -  Lihat Bentuk Duri Durian

Duri pada durian juga mempengaruhi rasa durian. Jika anda suka makan durian yang rasanya lemak manis, pilih buah durian yang durinya bentuk pendek dan sekata. Namun jika anda suka durian yang rasanya manis dan sedikit pahit, pilih buah durian yang durinya bentuk melengkung dengan duri panjang seinci.


4. Tip Membeli Durian -  Cium Bau Durian

Bagi mengenalpasti sama ada durian masih elok atau telah rosak, cium pada setiap bahagian pangsa buah durian. Jika buah masak elok, akan ada bau wangi durian daripada pangsa. 


Semoga perkongsian tip membeli durian ini dapat dijadikan asas di dalam memilih buah durian yang terbaik. Sekurang-kurangnya anda telah memilih durian yang terbaik dan pasti anda akan berasa puas hati. Selamat mencuba. 

Tip Bebas Hutang

Bebas hutang adalah impian semua orang. Ianya juga pasti akan membuatkan hati lebih tenang dan kita lebih fokus kepada kehidupan. Ada orang direzekikan bebas hutang di usia muda dan ada juga yang bebas hutang setelah bersara dari pekerjaan. Tip bebas hutang ini mungkin berbeza di antara seorang individu dengan individu yang lain. 

Tip bebas hutang

Sebenarnya terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk bebas hutang seperti berikut:

1. Bebas Hutang - Potong Kad Kredit

Terdapat kebaikan dan keburukan menggunakan kad kredit. Kebaikannya adalah memudahkan anda membayar tanpa membawa wang tunai. Namun keburukannya mungkin anda akan berbelanja boros tanpa kawalan. Jika anda kategori berbelanja boros, sebaiknya potong kad kredit. Bayar hanya menggunakan wang tunai atau kad debit. 


2. Bebas Hutang - Beli Ikut Keperluan

Kenalpasti barang untuk kehendak dan barang untuk keperluan. Rancang perbelanjaan dengan menyenaraikan barangan yang akan dibeli. Kenalpasti sama ada barang berkenaan adalah kehendak atau keperluan. Jangan membeli mengikut trend, viral dan jenama. Yang penting barang yang dibeli berkualiti, cantik dan anda tak perlu berhutang untuk memilikinya. Hadkan juga pembelian barangan kehendak yang sepatutnya tidak perlu di dalam aplikasi atas talian seperti di shopee atau lazada. 


3. Bebas Hutang - Menabung

Disiplinkan diri anda untuk menyimpan sekurang-kurangnya 30% daripada jumlah gaji atau pendapatan bulanan di dalam tabung (bank, ASB, Tabung Haji). Selebihnya (70%) bolehlah digunakan untuk komitmen lain seperti perbelanjaan harian, membayar ansuran kereta/ rumah, membayar bil-bil, memberi duit belanja kepada ibu bapa dan sebagainya. 


4. Bebas Hutang - Hidup Sederhana

Jangan terpengaruh dengan cara hidup orang lain. Hanya anda yang tahu setakat mana kemampuan kewangan anda. Berbelanjalah ikut kemampuan, jangan terikut-ikut dengan orang lain. Ukur baju di badan sendiri. Misalnya beli kereta keluaran tempatan berbanding kereta import. Ini kerana fungsi kereta tetap sama, yang membezakannya adalah harga.


5. Bebas Hutang - Kurang Makan Makanan Luar

Peruntukkan masa untuk membeli bahan mentah untuk dimasak di rumah. Masak resipi yang mudah dan ringkas, yang penting anda kenyang dan makanan berkenaan berkhasiat. Pasti banyak perbelanjaan yang dapat dijimatkan. Jika anda tak pandai memasak, boleh belajar memasak melalui resipi di google, facebook, instagram, youtube dan lain-lain. 


6. Bebas Hutang - Elak Membuat Hutang Baru

Sebaiknya fokus untuk langsaikan hutang sedia ada. Elakkan membuat hutang baru jika tidak perlu atau tidak penting. Hutang hanya akan membuatkan perbelanjaan anda bocor pada setiap bulan. 


7. Bebas Hutang - Pelbagaikan Pelaburan

Jika sesekali anda mendapat duit lebih seperti bonus atau durian runtuh, simpan dalam bentuk pelaburan lain seperti membeli aset, unit trust atau membeli emas Public Gold. 


8. Bebas Hutang - Jana Pendapatan Tambahan

Tambah pendapatan anda melalui berniaga secara kecil-kecilan seperti menjual makanan ringan, susu kambing, dropship pakaian atau part time agen Takaful. 


9. Bebas Hutang - Berzakat dan Bersedekah

Tunaikan kewajipan anda untuk menunaikan zakat (jika anda seorang muslim). Berzakat dapat mensucikan harta. Rajinkan juga bersedekah untuk keberkatan dan ketenangan hati. 


10. Bebas Hutang - Jangan Suka Bertangguh

Bayar bil dan ansuran hutang rumah/ kenderaan/ peribadi mengikut masa yang ditetapkan. Elakkan bertangguh-tangguh kerana bimbang anda akan berhutang apabila telah kehabisan duit. Anda juga mungkin akan dikenakan penalti jika lewat bayar. Mungkin anda boleh amalkan sistem sampul iaitu meletakkan duit di dalam beberapa sampul yang berbeza seperti sampul bil air, bil elektrik, bil telefon, bil astro, ansuran rumah, ansuran kereta dan lain-lain lagi.  


11. Bebas Hutang - Ambil Perlindungan Diri

Perlindungan diri seperti Takaful dapat memberikan manfaat sekiranya berlaku musibah terhadap kesihatan atau nyawa. Ini kerana kita tidak dapat menduga kemalangan atau musibah yang akan menimpa. Sekiranya musibah berkenaan meragut nyawa, ahli keluarga pasti tidak terbeban untuk membayar hutang anda jika dapat wang pampasan.  


Oleh itu, tip bebas hutang yang dibincangkan ini hanyalah sebagai panduan. Anda boleh praktikkan kesemua tip atau pilih tip yang bersesuaian dengan keadaan hidup anda. Ini kerana setiap orang pasti ada pendekatan dan cara hidup berbeza di dalam usaha bebas dari hutang.  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...