Awasi Tahap Kesihatan Anda

Tahukah anda, kemampuan fizikal boleh menjadi penanda aras tahap kesihatan anda? Secara luaran anda mungkin kelihatan cergas dan sihat, namun tiada siapa tahu mengenai tahap kesihatan sebenar anda. 

Awasi Tahap Kesihatan Anda
Awasi Tahap Kesihatan Anda - Sumber gambar redorbit.com
Apa kata anda periksa sendiri tahap kesihatan berdasarkan kepada keadaan seperti berikut:

Mampu menaiki tangga

Jika anda berasa semput ketika menaiki tangga ke tingkat satu, itu bermakna badan tidak cergas dan kurang bersenam. Banyakkan bersenam bagi mencergaskan tubuh dan melancarkan sistem pernafasan anda. 


Tidak tahan bau rokok 

Jika anda tidak tahan bau rokok, ini adalah petanda yang baik kerana anda pasti akan menjauhi perokok. Individu yang menghidu bau asap rokok lebih berisiko mendapat penyakit seperti kanser berbanding perokok. 


Makan makanan ringan

Sekiranya anda makan makanan ringan seminggu sekali, itu adalah sesuatu yang baik untuk kesihatan anda. Individu yang kerap makan makanan ringan lebih berisiko untuk menghidap penyakit seperti obesiti dan kencing manis. 


Ukuran lilit pinggang

Pastikan ukuran lilit pinggang anda kurang daripada 35 inci. Ukuran lilitan pinggang melebihi itu berisiko untuk anda menghidap penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi.


Bibir dan kulit kering

Pastikan pengambilan air sekurang-kurangnya dua hingga tiga liter sehari bagi memastikan bibir dan kulit anda sentiasa lembap. Kekurangan air dalam badan juga menyebabkan tubuh cepat lesu dan pening kepala. 


Gusi berdarah 

Awas jika gusi anda berdarah ketika memberus gigi, mungkin ianya petanda terdapat jangkitan pada gusi. Atau mungkin juga ianya berkaitan dengan radang arteri dan masalah jantung. 


Berat badan tidak stabil

Jika anda mengamalkan diet ‘yoyo’, berat badan anda akan kerap turun dan naik. Hati-hati jika berat anda naik dan turun melebihi lima kali kerana sistem imun badan mungkin menjadi lemah berbanding individu yang memiliki berat badan stabil. 


Oleh itu, pastikan tahap kesihatan anda sentiasa berada di tahap yang baik serta memuaskan dengan cara mengamalkan gaya hidup yang sihat iaitu melalui pengambilan makanan yang seimbang dan melakukan senaman secara teratur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan