Ketenangan itu tidak dapat diukur dengan wang dan harta. Ada orang hidup miskin, tapi hatinya sentiasa tenang dan merasa cukup di atas nikmat yang Allah SWT berikan. Ada pula orang yang duit dan hartanya banyak, tapi hati tidak tenang, tidur tidak lena dan selalu gelisah. Apakah rahsia untuk hidup tenang dan sentiasa rasa cukup?
Rahsia Hidup Tenang dan Rasa Cukup - Gambar kredit: utne.com |
Rahsia untuk hidup tenang, merasa cukup dengan nikmat Allah SWT dan sentiasa dipermudahkan urusan seharian oleh Allah SWT adalah seperti berikut:
1. Sentiasa amalkan solat di awal waktu
Solat yang di awal waktu, sempurna dan kusyuk pasti dapat memberikan ketenangan kepada kita. Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Mukminun, ayat 1-2 yang bermaksud: “Benar-benar sangat beruntung orang-orang beriman. Yakni mereka yang khusyuk dalam mengerjakan solat.” Allah SWT juga berfirman dalam ayat lain yang bermaksud: “Benar-benar sangat beruntung orang-orang yang membersihkan diri dengan beriman dan sentiasa berzikir menyebut nama Tuhannya serta mengerjakan solat.” (Surah Al-A’la, ayat 14-15). Selain daripada menunaikan solat 5 waktu, perbanyakkan juga menunaikan solat sunat seperti taubat, hajat, duha dan lain-lain.
2. Setiap kali selepas solat, bacalah sekurang-kurangnya selembar al-Quran
Ternyata al-Quran dapat menjadi penawar jiwa yang sedang resah. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra, ayat 82 yang bermaksud: “Dan Kami turunkan daripada al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman...”. Bacalah sekurang-kurangnya selembar mukasurat selepas solat. Pasti hati akan berasa tenang.
3. Selalu menyebut nama Allah SWT sebanyak mungkin
Allah SWT telah berfirman dalam Surah ar-Ra’d, ayat 28 yang bermaksud: “Orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.” Oleh itu, banyakkan berzikir tidak mengira masa siang atau malam. Jika terlalu sibuk bekerja, amalkan zikir Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahuakbar 33 kali setiap kali selepas solat fardhu. Perbanyakkan juga berselawat buat Baginda Rasulullah SAW pada setiap waktu. Insyaa Allah hati akan berasa tenang dan dipermudahkan urusan oleh Allah SWT.
4. Sarungkan pakaian mengikut syariat Allah SWT
Berpakaianlah mengikut syariat yang ditetapkan oleh Allah SWT. Kewajipan menutup aurat ada ditegaskan dalam firman Allah SWT dalam surah an-Nur, ayat 31 yang bermaksud: "Dan hendaklah mereka menutupkan kain yang dipakai untuk menutup kepala (tudung) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak suruhan yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita”. Apabila kita patuh pada perintah Allah SWT, pasti hati akan berasa tenang.
5. Sedekah pada setiap hari daripada harta yang disayangi
Bersedekahlah pada setiap hari dengan hati yang ikhlas, pasti hati akan berasa tenang dan rezeki akan sentiasa rasa cukup. Sedekah sebenarnya akan semakin menambah rezeki kita. Jika tidak mampu bersedekah dengan duit dan harta, sedekahkan sekuntum senyuman kepada orang di sekeliling anda.
Oleh itu, dengan membuat kebaikan pasti hati kita akan merasa tenang. Bersyukurlah di atas segala nikmat yang Allah SWT berika, pasti anda akan sentiasa merasa tenang dan cukup. Sifat tamak selalu akan buatkan hati gelisah dan merasa tidak cukup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan